Mahasiswa Indonesia jayakan khidmat masyarakat di Kampung Keriam



​​Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Keriam






KERIAM, Jumaat, 12 Jun. - Semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap masyarakat terserlah apabila seramai 48 peserta daripada Program Pascasarjana Teknologi Pendidikan, Universiti PGRI Adi Buana Surabaya, Indonesia telah mengadakan lawatan khidmat masyarakat ke Kampung Keriam, di sini.


Program yang merupakan sebahagian daripada lawatan akademik dan kemasyarakatan mereka ke Negara Brunei Darussalam (NBD) itu bertujuan memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat, di samping memupuk nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta.


Ketibaan rombongan yang diketuai oleh Dr. Rufi'i, S.Si., ST., M.Pd., selaku Direktur Program Pascasarjana Prodi Teknologi Pendidikan Universiti PGRI Adi Buana Surabaya, telah dialu-alukan oleh Ketua Kampung Keriam, Awang Haji Bahrin bin Haji Bolhassan bersama Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Keriam serta Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT) Masjid Kampung Keriam di Masjid Kampung Keriam.


Majlis dimulakan dengan sesi bergambar ramai sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan dan taklimat ringkas oleh Awang Haji Bahrin mengenai sejarah, perkembangan serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan di Kampung Keriam.


Bagi menjayakan program khidmat masyarakat tersebut, para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan Masjid Kampung Keriam, manakala kumpulan kedua mengadakan lawatan kebajikan ke kediaman seorang penduduk Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Dayang Halimah binti Apong dengan menjalankan aktiviti membersihkan kawasan persekitaran rumah Dayang Halimah.


Rombongan juga berkesempatan beramah mesra bersama Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri di kediamannya dan juga menyaksikan persembahan berbentuk kebudayaan dan kemudiannya menerima cenderahati daripada Awang Haji Mohammad Sofian dan pihak MPK berkenaan.


Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja membantu meningkatkan kebersihan persekitaran, malah menjadi wadah untuk memupuk nilai empati, kerjasama dan semangat gotong-royong dalam kalangan peserta serta masyarakat setempat.


Dr. Rufi'i merakamkan penghargaan atas layanan mesra dan kerjasama yang diberikan oleh penduduk Kampung Keriam sepanjang program berlangsung. Beliau turut menyifatkan pengalaman tersebut sebagai platform berharga untuk para peserta memahami budaya masyarakat setempat dan menghayati kepentingan khidmat sosial.


Sementara itu, Awang Haji Bahrin juga menzahirkan penghargaan kepada pihak Universiti PGRI Adi Buana Surabaya kerana memilih Kampung Keriam sebagai lokasi program dan berharap hubungan persahabatan dan kerjasama yang terjalin melalui program tersebut akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan.


Turut hadir menjayakan program berkenaan ialah Ahli-ahli MPK Keriam, AJKT Masjid Kampung Keriam serta penduduk kampung yang bersama-sama memberikan sokongan padu terhadap pelaksanaan aktiviti tersebut.


Close